About Me

header ads

Memaknakan Demokasi, Turun 1 Mei Bantah GST


Tahun 2014 ini merupakan tahun getir buat rakyat. Belanja dapur terus meningkat, perbelanjaan harian melambung tinggi, rakyat dikenakan kadar kenaikan kos yang mendadak pada keperluan harian seperti air, tarif elektrik, astro dan pengangkutan awam malahan lebih teruk apabila GST diperkenalkan. Yang amat mendukacitakan tangga gaji tidak berubah namun kos sara hidup semakin meninggi.
 
Justeru, kami menyelar sebahagian pimpinan kerajaan Pusat dan Negeri yang mengatakan GST mampu menurunkan harga barang walaupun benar GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, tetapi, ia tidak bermakna cukai yang perlu dibayar rakyat Malaysia akan turun kerana dua jenis cukai akan digantikan dengan satu. Sesungguhnya kenyataan ini hanya justifikasi akademik semata-mata dengan asas pengeluar boleh menuntut kredit cukai maka mereka akan menurunkan harga barang. Ini hanyalah mitos yang tidak akan menjadi realiti.

Pada hemat kami, kerajaan tidak menyedari bahawa pengeluar sekarang terdedah dengan pelbagai peningkatan kos kerana perkhidmatan dan barang yang digunakan dalam aktiviti pengeluaran mereka juga perlu dicukaikan dan ini sudah tentu memberikan kesan kepada kos. Sebenarnya ini bukan kebajikan tetapi perniagaan dan keputusan menurunkan harga bukan disebabkan undang-undang.

Oleh itu, kami melihat pelaksanaan GST akan meningkatkan pelbagai harga barangan dan ia berterusan akan membebankan rakyat dan atas justifikasi itu kami menentangnya.

GST akan terus dilaksanakan pada tahun depan, keadaan ini akan menambah bebanan rakyat dengan pelbagai kesan termasuklah inflasi, akhirnya hutang individu dan keluarga akan meningkat. Melalui GST, kerajaan akan membiarkan golongan bawahan berterusan didera disebabkan peningkatkan kos sara hidup yang semakin menggila. Himpunan 1 Mei ini sangat penting dan signifikan. 
Pakatan Rakyat akan turun bersama rakyat untuk mengingatkan tanggungjawab kerajaan bagi memberi keadilan pada rakyat. Di peringkat Pemuda PAS Negeri Sembilan, kami menyokong dan tekad untuk turun pada himpunan ini.

Kami memuji usaha baik himpunan anjuran NGO ini. Kami yakin ia akan menjadi platform rakyat untuk memberi isyarat jelas bahawa mereka tidak dapat bersetuju dengan GST. Bagi kami, kempen kesedaran 'Faham GST, Tolak GST' akan terus digerakkan agar rakyat sedar akan hak mereka dan memahami isu ini sebaiknya.

Tanggal 1 Mei sangat sesuai untuk berhimpun di Kuala Lumpur, tambahan pula hari tersebut adalah sambutan hari pekerja. Hampir seluruh rakyat Malaysia adalah pekerja samada dalam sektor kerajaan, swasta mahupun persendirian, setiap orang akan terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. Dalam sebuah negara demokrasi pada kami, himpunan ini amatlah wajar, bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan mengajak seluruh rakyat bersama-sama membantahnya.

Keputusan telah dibuat di Parlimen dan Rang Undang-undang GST telah diluluskan, tahun 2015 bakal dilaksanakan. Biar rakyat pula membuat keputusan dan memilih, 1 Mei ini akan terpahat sebagai 'historic moment' bahawa rakyat akan turun beramai-ramai untuk membantahnya. Ayuh para pencinta kebenaran, aktivis masyarakat dan pejuang rakyat kita turun menoktahkannya.

Nor Azman Mohamad
Ketua Pemuda PAS 
Negeri Sembilan

....
Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.com/

Post a Comment

0 Comments