Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, MRT Watch telah mengetengahkan pelbagai isu serta masalah yang timbul termasuk melahirkan kebimbangan kami mengenai tahap keselamatan projek MRT jika senario ini berterusan tanpa tindakan konkrit daripada pihak kerajaan mahupun MRT Corp sendiri.
Untuk memastikan senario ini berubah, kami ingin mendesak agar pihak kerajaan tidak menyambung kontrak CEO MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid yang dijangka tamat sekitar awal bulan Ogos tahun ini.
Ini penting untuk memastikan MRT Corp dan juga projek pembinaan jajaran MRT Kajang-Sg Buloh diurus oleh peneraju yang berkredibiliti dan berkebolehan bagi projek mega pengangkutan awam seperti MRT ini. Kami turut mendesak pihak MRT Corp untuk segera mendedahkan pelan keselamatan dan kecemasan yang ada demi memberi keyakinan kepada rakyat umumnya dan pengguna pengangkutan awam di Lembah Kelang khususnya.
Sekiranya Datuk Azhar disambung kontraknya, kami yakin MRT Corp akan terus dibelenggu masalah demi masalah akibat kepimpinan korporat yang tidak punya kredibiliti serta tidak bertanggungjawab. Projek MRT tidak akan berjalan lancar dengan tahap keselamatan yang maksimum serta tidak memberi sebarang jaminan keselamatan berikutan kemalangan demi kemalangan yang membahayakan nyawa rakyat.
MRT Corp sebagai sebuah syarikat GLC akan terus dirundung pelbagai masalah jika diterajui oleh seseorang yang tidak punya tahap integriti yang tinggi. MRT Corp akan terus disalahguna serta dimanipulasi jika terus menerus diterajui oleh ketua eksekutif yang tidak amanah.
Projek mega pengangkutan awam darat seperti MRT ini juga tidak akan dapat memberi perkhidmatan yang optimum kepada rakyat sekiranya peneraju MRT Corp tidak mempunyai kepakaran serta trek rekod pengalaman yang sesuai dengan industri pembinaan serta pengangkutan.
Projek MRT sering dilanda insiden demi insiden yang mengerikan seperti kes tanah mendap di Jalan Bukit Bintang, kemalangan cerucuk logam yang telah jatuh menghempap kenderaan awam di Pusat Bandar Damansara serta banjir kilat akibat daripada paip pecah di Mutiara Damansara hingga mengakibatkan keselamatan awam dan kesesakan teruk dikawasan tersebut, harus menjadi tanda aras penilaian terhadap prestasi kerja Datuk Azhar sejak menerajui MRT Corp.
Prestasi kerja hambar Datuk Azhar mencapai tahap terendah apabila beliau berkeras untuk membina terowong pejalan kaki di bawah platform KL Sentral. Cadangan yang dijangka menelan belanja sebanyak RM350 juta bagi pembinaan 120m terowong pejalan kaki menunjukkan bagaimana Datuk Azhar sanggup menyeleweng wang pembayar cukai tanpa rasa bertanggungjawab sama sekali.
Hala tuju projek pengangkutan awam mega MRT ini harus dipikul oleh seseorang yang punya tahap integriti yang tinggi, mempunyai trek rekod serta kepakaran dan kebolehan dalam industri ini. Kerajaan Malaysia harus mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan bahawa slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" menjadi amalan serta tahap kebertanggungjawaban serta integriti menjadi kayu ukur kepimpinan.
Projek MRT tidak mempunyai pilihan untuk gagal dan keselamatan serta nyawa rakyat tidak boleh diperjudikan. Kerajaan tidak punya pilihan selain daripada mengambil keputusan tegas untuk tidak memperbaharui kontrak perkhidmatan Datuk Azhar sebagai CEO MRT Corp.
MRT Watch
16 Julai 2014
....
Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.com/
0 Comments