Zaman beralih dan musim
berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman
falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman
atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi
maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah
menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif.
Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan
lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling
canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai
implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.
Kehadiran teknologi maklumat merupakan
anugerah istimewa kepada dunia pendidikan.
Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya
teknologi maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah
kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar,
menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu
tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah
dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi
disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara
hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar
menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi,
“Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!”
Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan
komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah.
Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien
dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang
e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat
e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang
mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.my
bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan
dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal
malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga
tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada
berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan
mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa
perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek
perniagaan.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri
kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak
membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan
dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum.
Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan
cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi
maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita
akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia
siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi
maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika
Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau
lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas
750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji
Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat
multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada
di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan
dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel
elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia.
Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat
dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan
melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah
daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran
surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik
dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat
persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai
negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang
tiada tolok bandingnya?
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat
teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet
hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara.
Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang
menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak
berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet
untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya,
terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum
pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui
internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti
mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua
ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya
kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini,
keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.
Teknologi maklumat juga menjadi wahana
penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam
internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran
utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang
bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur
seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam.
Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor
dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal
ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua
pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan
kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini
merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam
kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya
menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja
kita.
Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai
kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka
keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang
bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini.
Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing
dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang
berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah
menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang
keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan
berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi
Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi
Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka
ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta
maka hartanya semakin berkurang.
Kosa kata:
1. seyogia – sepatutnya, selayaknya
2. input – sumber
3. menginjak – mengubah
4. kompetitif – bersaing
5. glokal – tempatan
6. berbaur – bercampur
7. anarki – porak-peranda
8. wahana – saluran
9. kebejatan – keruntuhan
0 Comments