About Me

header ads

Guan Eng bohong berhubung hutang negara, kata Khairy


PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbohong dan memberi jawapan yang mengelirukan berhubung hutang negara.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata Lim pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Selasa, berkata hutang kerajaan ketika ini disebabkan pinjaman yang dibuat bagi melaksanakan projek pembangunan seperti Lebuh Raya Pan Borneo, MRT, LRT3 dan lain-lain projek pembangunan.

“Sedangkan sebelum ini beliau memberi gambaran 1MDB adalah punca utama hutang negara naik sehingga RM1 trilion.

“Hakikatnya, keadaan serta nilai hutang negara bukanlah semata-mata kerana 1MDB,” katanya menerusi Facebook.

Khairy berkata, Lim juga mendakwa pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bukanlah sebahagian daripada hutang negara, berbeza dengan kenyataannya sebelum ini mengatakan kos pembinaannya adalah sebahagian daripada liabiliti yang perlu ditanggung kerajaan.

Hutang bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dibuat menerusi syarikat milik penuh kerajaan iaitu Danainfra Nasional Bhd.

“Jadi apabila Guan Eng menyatakan Danainfra tidak termasuk dalam tanggungan hutang negara, jelas sekali beliau telah berbohong.

“Tindakan beliau selaku menteri kewangan yang menggambarkan 1MDB adalah punca utama hutang negara juga adalah langsung tidak tepat,” katanya.

Lim sebelum ini dilaporkan berkata hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017.

Jaminan kerajaan termasuklah entiti seperti Danainfra Nasional Bhd berjumlah RM42.2 billion, Govco Holdings Bhd (RM8.8 billion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 billion), Malaysia Rail-link Sdn Bhd (RM14.5 billion) dan 1MDB dengan jangkaan RM38 bilion.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments