About Me

header ads

Hadi: Kerajaan campuran kena pimpinan Islam, tolak puak ekstrim


TUARAN, 10 Mac ― PAS terbuka dengan cadangan kerajaan campuran bersama Umno di empat negeri berdasarkan pengalaman parti itu sejak beberapa dekad, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun presiden PAS berkata ia perlu mengambilkira kepentingan kepimpinan Melayu Islam Bumiputera dan partisipasi semua parti itu sebelum langkah merealisasikannya, lapor Astro Awani.

“Itu yang diperjuangkan oleh PAS iaitu Islam, Bumiputera dan Melayu. Tidak terikat dengan Umno sahaja. Termasuklah parti Bersatu yang masih dalam kerajaan,” kata wakil rakyat Marang itu.

“[Ia juga] termasuklah Gagasan Sejahtera yang sudah bergabung dengan kita dan pertubuhan bukan kerajaan Islam,” kata beliau lagi di Telipok, di sini, malam tadi.

Katanya, PAS berpengalaman luas termasuk bersama kerajaan campuran pada 1973, Semangat 46 dan DAP, namun cadangan itu perlu dilihat menyeluruh dari pelbagai sudut.

“Dengan sebab itu, kita perlu lihat dengan lebih luas. Umno sahaja, pandangan kita terima, tetapi mesti perlu dilihat oleh pihak parti-parti lain,” katanya.

Dalam usaha merealisasikannya, Abdul Hadi menegaskan supaya unsur perkauman dan pihak yang ekstrim perlu ditolak sebaliknya mengambil kira penglibatan masyarakat majmuk.

“Kita perlu melibatkan masyarakat majmuk di negara ini, yang tidak ekstrim, yang boleh menerima kepimpinan Islam, dan tolak (pihak) yang ekstrim yang saya tak perlu sebut nama,” katanya.

Semalam timbalan presiden Umno mengesyorkan ‘Kerajaan Penyatuan Ummah’ dengan PAS diwujudkan Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis dan ia masih lagi di peringkat cadangan.

Memfokuskan agenda penyatuan ummah tanpa meminggirkan masyarakat majmuk, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Umno telah membentuk jawatankuasa kerja untuk tujuan itu.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments