About Me

header ads

Melayu akan terus hilang kuasa politik di P. Pinang jika tiada kesedaran daftar mengundi


NIBONG TEBAL 11 Mac - Penyatuan UMNO dan Pas tidak akan memberi apa-apa makna dalam landskap politik di negeri ini sekiranya orang Melayu masih mempunyai kesedaran rendah mengenai kepentingan mendaftar sebagai pengundi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, situasi itu lebih kritikal apabila orang Melayu bukan kaum majoriti di negeri ini.

Tambah beliau, keadaan juga berbeza dengan kaum bukan Melayu yang mana hampir 95 peratus daripada mereka mendaftar sebagai pengundi kerana kesedaran tinggi terhadap perjuangan bangsa.

"Sebab itu jika dilihat dari sudut peti undi, perjuangan orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang ini sudah tamat (kerana ramai tidak daftar mengundi).

"Apa yang tinggal kepada orang Melayu Pulau Pinang hari ini adalah sekadar perjuangan melawan pihak-pihak tertentu supaya tidak terus menindas nasib mereka dan agama Islam," katanya.

Bezliau berucap pada majlis ceramah umum bertajuk Malapetaka Bangsa anjuran bersama Perkasa dan UMNO sert Pas Nibong Tebal di sini malam tadi.

Turut serta dalam ceramah itu ialah Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail dan Ahli Jawatankuasa Pas Nibong Tebal, Usman Al-Marbawi.

Sehubungan itu, Ibrahim menggesa orang Melayu supaya mempunyai kesedaran tinggi untuk mendaftar sebagai pengundi dan ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka melaksanakan hak dan tanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, beliau sebelum ini sudah mengingatkan beberapa pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) mengenai bahaya dan risiko menjalin kerjasama politik dengan DAP.

Tambahnya, kebimbangan itu adalah disebabkan konsep Malaysian Malaysia yang cuba dibawa DAP yang mana boleh menyebabkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan umat Islam dicabar serta hilang.

Malah, dakwanya, beliau juga terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir daripada menyertai kepemimpinan PH selepas mendapat tahu DAP turut dijemput menyertai pakatan tersebut.

"Sekarang lihatlah apa yang berlaku, banyak penghinaan terhadap orang Melayu dan umat Islam berlaku selepas PH memerintah negara," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Norhiesam berkata, orang Melayu dan umat Islam benar-benar tercabar selepas PH memerintah negara yang dapat dilihat daripada beberapa kejadian yang disebabkan oleh dasar kerajaan PH.

Antaranya, kata beliau, campur tangan dalam aset dan kepentingan orang Melayu seperti dalam isu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji); Felda dan Felcra sehingga menimbulkan keresahan serta kebimbangan.

Selain itu, tambahnya, isu-isu seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam juga dilihat semakin serius di bawah kerajaa PH tetapi dalam masa sama penguatkuasaan undang-undang dilihat terlalu longgar.

"Ekonomi negara juga semakin merudum dan banyak aset dijual kepada pihak asing dan ini merupakan malapetaka besar kepada negara hanya dalam tempoh tidak sampai setahun PH berkuasa," katanya. - UTUSAN ONLINE



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments