About Me

header ads

PAS banyak pengalaman bentuk kerajaan campuran, kata Hadi


PETALING JAYA: PAS mengambil pandangan yang lebih luas berhubung hasrat Umno membentuk kerajaan campuran dengannya di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang, kata Presiden Abdul Hadi Awang.

Pada sidang media yang disiarkan secara langsung dari Kota Kinabalu, Hadi berkata PAS mempunyai banyak pengalaman membentuk kerajaan campuran, seperti pada 1973 bersama Perikatan dan bersama Pakatan Rakyat pada 2008.

“PAS mempunyai banyak pengalaman. Pernah juga tubuhkan Barisan Nasional, juga dengan Semangat 46, pernah dengan DAP. Itu memberi pengalaman kepada kita, sebab itu perlu lihat pandangan yang lebih luas,” katanya selepas pidato Islam dan Keharmonian di Sabah anjuran Institut Kajian Strategik Sabah malam tadi.

Hadi ditanya pemberita adakah beliau akan mempertimbangkan cadangan “kerajaan penyatuan ummah” yang diumumkan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan hari ini.

Presiden PAS berkata Umno boleh meletakkan apa sahaja nama pada cadangan tersebut, tetapi PAS kena lihat segala penjuru.

“Pandangan Umno itu kita terima tetapi kena lihat parti-parti yang lain,” katanya.

Umno dan PAS pada Isnin mengumumkan kerjasama di peringkat Parlimen dan pilihan raya kecil akan datang selepas mengambil kira keadaan politik semasa.

Di Kelantan, PAS mempunyai 37 kerusi manakala Barisan Nasional 8 kerusi, sementara di Terengganu, PAS mempunyai 22 kerusi dan BN 10 kerusi. Di Pahang, BN mempunyai 25 kerusi dan PAS 8 kerusi. Di Perlis, BN mempunyai 9 kerusi dan PAS 2 kerusi.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments