About Me

header ads

PTPTN: ‘PH sembang saja pandai’


BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir kenyataan ‘u-turn’ Pakatan Harapan (PH) apabila menafikan ada menawarkan untuk menghapus Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata, dahulu parti berkenaan terlalu sibuk mengeluarkan pelbagai formula mengalahkan profesor, berhubung isu pinjaman pelajaran itu.

“BN beri diskaun PTPTN tiap-tiap tahun sehingga 20 peratus. Mengapa PH batal? BN beri pengecualian PTPTN kepada yang cemerlang tiap-tiap tahun. Mengapa PH batal?

“Sembang saja pandai PH ini. Dah kosong, tak ada orang percaya lagi. Banyak lagi perancangan saya untuk PTPTN sebenarnya jika BN masih berkuasa,” tulisnya sambil memuatnaik keratan laporan Sinar Harian bertajuk ”PH tak pernah janji hapuskan PTPTN’.

————————————————————————————————————

Sementara itu, Najib turut membidas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, yang sebelum ini berjanji mahu mengurangkan kos sara hidup dan memberikan pendidikan percuma jika diberikan kuasa memerintah.

Sambil menyindir Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu, Najib berkata, dahulu Salahuddin merayu supaya pengundi memilih beliau kerana mendakwa susah untuk menurunkan kos sara hidup berikutan tidak mempunyai kuasa.

“Hari ini, dia sudah ada kuasa. Hari ini, dia sudah jadi Menteri. Siap menangis di atas pentas dan dalam video propaganda.

“Hari ini, mereka juga yang kata tak pernah kata PTPTN akan dihapuskan. Tak pernah janji pendidikan akan percuma. Mereka cuba nafi pernah janji. Tapi internet tak lupa,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memuat naik video Salahuddin berdurasi lebih 1 minit dipercayai sewaktu ceramah beliau sebelum PRU14.

—————————————————————————————————————

Dalam hantaran berasingan, Najib meluahkan rasa sedih terhadap keadaan yang berlaku di Pasir Gudang susulan pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, yang kini memasuki hari kesembilan.

Beliau berkata, ada keperluan untuk kerajaan mengambil pendekatan baharu bagi menangani krisis berkenaan, seperti mengisytiharkan darurat bencana bagi mengelakkan jumlah mangsa meningkat.

“Jumlah mangsa yang menerima rawatan akibat pencemaran toksik di Pasir Gudang telah meningkat kepada 3,555 orang awam.

“Ini ialah peningkatan yang mengejutkan berbanding jumlah mangsa 2,775 pada hari semalam dan 937 orang pada hari sebelumnya. Saya doakan keadaan akan segera pulih dan mangsa terjejas akan sembuh dalam masa yang paling singkat.

“Terima kasih juga kepada semua petugas perubatan, sukarelawan, anggota polis dan NGO yang terlibat membantu. Semoga Allah sentiasa melindungi kita semua,” tulisnya.

- ISMAWEB




DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments