About Me

header ads

Derma RM2.6 bilion tidak tertakluk kepada cukai, kata Najib


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, mengikut undang-undang sumbangan politik yang diterima daripada Arab Saudi tidak tertakluk kepada cukai, berikutan laporan yang menyebut beliau diminta membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.5 bilion.

Terdahulu, akhbar The Edge Financial Daily, yang memetik sumber berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menulis surat kepada Najib berhubung pendapatan boleh cukai yang tidak diisytiharkan sebanyak RM4 bilion dari 2011 ke 2017, termasuk wang RM2.6 bilion yang dikatakan diterima daripada Arab Saudi.

Dalam kenyataan di Facebook, Najib bagaimanapun berkata, pendapatan yang diperolehi dari luar negara tidak tertakluk kepada cukai di bawah undang-undang percukaian sedia ada.

“Ini di sebalik hakikat bahawa saya adalah penjaga kepada dana parti dan segala yang diuruskan adalah bagi urusan parti,” katanya, dengan menambah bahawa kerajaan juga menuduh beliau menyalurkan dana kepada Umno, MCA dan pihak serta individu lain untuk tujuan politik, bukannya kegunaan peribadi.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah pun mendakwanya kerana menerima wang RM2.6 bilion itu, selain mendakwanya dengan 4 pertuduhan lain kerana memulangkan sebahagian besar wang berkenaan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan mempunyai kuasa luas, termasuk untuk menuntut beliau membayar seberapa banyak cukai yang dikehendakinya atau mengenakan penalti yang berganda walaupun isu itu masih berada di mahkamah.

“Jika kerajaan PH mahu, mereka boleh menuntut cukai sebanyak RM5 bilion atau RM10 bilion daripada mana-mana individu kerana ia dalam kuasa mereka.

“Tetapi itu setakat menuntut sahaja. Tidak pasti mereka benar atau berhak menerimanya. Akhirnya perlu ikut undang-undang,” katanya.

“Kerajaan PH boleh berbuat sesuka hati mereka, tetapi saya yakin keadilan pasti muncul dan rakyat dapat melihat sendiri sama ada kerajaan ini berlaku adil atau telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politik mereka.”


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments