About Me

header ads

Kenapa Rais pertahan Izzah gelar Dr M ‘bekas diktator’, soal Redzuan


PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Redzuan Md Yusof membidas seorang lagi pemimpin parti itu kerana mempertahankan Nurul Izzah Anwar yang menggelar Dr Mahathir Mohamad sebagai “bekas diktator”.

Redzuan mempersoalkan motif Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM, Rais Hussin mempertahankan Nurul Izzah yang membuat kenyataan itu dalam temubual bersama akhbar Singapura, Straits Times.

“Untuk Rais mempertahankan tindakannya sebagai ‘Puteri Reformasi’, apa motifnya?” soal Redzuan merujuk gelaran diberikan penyokong PKR kepada Nurul Izzah, anak sulung Anwar Ibrahim.

Redzuan yang juga menteri pembangunan usahawan berkata, Mahathir dipilih secara demokratik dan keputusan dalam Kabinet melalui konsensus.

“Kabinet 100% menyokong Mahathir,” katanya kepada FMT.

“Malah, DAP boleh memaaf dan melupakan masa silam untuk mara demi masa depan Malaysia.”

Redzuan berkata, Rais sepatutnya membantu parti pemerintah menjelaskan cabaran dihadapinya kepada rakyat, bukannya mengkritik gabungan itu kerana perlahan melaksanakan pembaharuan.

“Beliau sebaliknya memberi senjata kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan hari ini.”

Kekecohan tercetus dalam kalangan pemimpin PH, selepas Nurul Izzah memberitahu Straits Times, beliau “patah hati” dengan perkembangan politik di Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dilaporkan berkata, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca begitu banyak kerosakan berlaku.

Susulan itu, Rais menyifatkan Nurul Izzah sebagai “wanita terhormat yang kecewa dengan pembaharuan yang berjalan perlahan”.

“Jika Nurul Izzah boleh kecewa hampir setahun selepas kemenangan Pakatan Harapan pada malam 9 Mei 2018, bayangkan apa yang setiap rakyat Malaysia boleh rasakan apabila mereka perlu bergelut dengan sindrom berlengah-lengah,” tulisnya baru-baru ini.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments