About Me

header ads

Pelajar dedah ‘memo kepada Raja-raja’ didakwa gagalkan ratifikasi Statut Rom


PETALING JAYA: Sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan imej satu dokumen yang dikemukakan kepada Raja-raja Melayu yang menurut mereka mungkin bertanggungjawabkan menggagalkan langkah kerajaan meratifikasi Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarbangsa (ICC) baru-baru ini.

Pelajar itu berkata, mereka mendedahkan dokumen tersebut bagi mencetuskan perbahasan mengenai kandungannya dan sebagai langkah menyokong petisyen yang mendesak kerajaan supaya meratifikasi statut antarabangsa itu.

Imej yang didedahkan oleh pelajar berkenaan dikatakan menunjukkan kandungan satu memorandum 10 halaman yang disediakan oleh 4 ahli akademik yang menggariskan peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong serta liabiliti baginda di bawah Statut Rom.

Empat penulisnya mendakwa, ratifikasi Statut Rom akan menyebabkan Agong boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarbangsa atas peranan baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Menurut mereka, Agong memegang tanggungjawab operasi sebagai pemerintah tertinggi tentera, melampaui peranan baginda sebagai ketua lambang atau kehormat.

Dokumen itu memberi beberapa contoh Raja sebagai Ketua Negara yang boleh dipertanggungjawabkan atas jenayah perang. Ini termasuklah Maharaja Wilhelm II Jerman dalam Perang Dunia 1 dan Maharaja Hirohito Jepun dalam Perang Dunia ke-2.

Kumpulan pelajar itu bagaimanapun berkata, contoh tersebut tidak realistik dan menegaskan Agong sebagai raja berperlembagaan hanya bertindak atas nasihat perdana menteri.

Aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi mendedahkan imej dokumen yang didakwa dikemukakan kepada Persidangan Raja-raja mengenai Statut Rom di laman Facebook beliau.
Kiriman Facebook berkenaan memaparkan 9 nama aktivis muda terbabit, iaitu Asheeq Ali bin Sethi Alivi, Ainina Sofia binti Adnan, Nurhuda binti Ramli, Suhail Wan Azahar, Ahmad Taqiyuddin Shahriman, Wong Yan Ke, Chong Kar Yan, Nik Azura Nik Nasron dan Siti Nurizzah binti Mohd Tazali.

Mereka berkata memorandum tersebut disediakan oleh Prof Dr Rahmat bin Mohamad, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, Dr Fareed bin Mohd Hassan dan Hisham bin Hanapi yang dikemukakan kepada Persidangan Raja-raja pada 2 April.

Menurut dokumen itu, penyertaan Malaysia ke dalam Statut Rom tidak mempunyai kesan ke atas penyiasatan antarabangsa berhubung insiden menembak jatuh pesawat MAS MH17 di ruang udara Ukraine pada 2016.

Pihak yang menyokong Statut Rom berkata, Malaysia seharusnya boleh membawa kes MH17 ke ICC sekiranya kerajaan menandatangani triti tersebut sebelum kejadian.

Dokumen itu juga menyebut bahawa keputusan untuk menarik diri daripada triti berkenaan tidak memberi kesan terhadap pendirian Malaysia berhubung krisis Rohingya dan sebagai anggota ICC sekali pun, Malaysia tidak boleh memaksa mahkamah antarabangsa itu mengambil tindakan ke atas Myanmar kerana “hanya rakyat Myanmar boleh berbuat demikian”.

FMT cuba mendapatkan pengesahan 4 ahli akademik berkaitan dan juga daripada aktivis pelajar terbabit.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom berikutan protes daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ratifikasi statut berkenaan menghendaki Malaysia meminda beberapa undang-undang supaya selaras dengan kehendak Statut Rom, yang membolehkan pendakwaan dibuat terhadap pihak yang melakukan jenayah antarbangsa seperti genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan seperti kehilangan paksa individu oleh kerajaan atau ejen kerajaan.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments