About Me

header ads

Daftar automatik lebih praktikal


STATISTIK Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan seramai 18.8 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihanraya Umum ke-15 dianggarkan pada tahun 2023.

Data juga menunjukkan seramai 15 juta pemilih yang telah mendaftar sehingga suku pertama tahun 2019.

Namun seramai 4 juta warganegara yang berumur 21 tahun dan ke atas sehingga 31 Mac 2019 yang layak, tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Cadangan menurunkan umur daripada 21 tahun ke 18 tahun yang dibentangkan di Parlimen perlulah memikirkan mekanisme terbaharu agar pendaftaran dibuat secara automatik. Mereka yang menjangkau 18 tahun secara automatik sah menjadi pengundi berdaftar tanpa perlu mengisi borang atau mendaftar di pusat dan kaunter pendaftaran yang ditentukan.

Pada hakikatnya walaupun hanya dengan satu undi sahaja dilihat kecil, namun ia mampu menentukan pembentukan sebuah kerajaan. Undi mempunyai nilai dan maknanya cukup besar dalam sistem demokrasi. Hak dan keistimewaan rakyat yang boleh mengundi adalah peluang dan ruang untuk menentukan hala tuju dan pemerintahan di negara ini.

Maka jumlah yang keluar mengundi amat penting untuk menentukan corak dan hala tuju masa hadapan sesebuah negeri malahan negara.

Jumlah yang besar ini memberi impak kepada politik dan pentadbiran negara pada masa akan datang.

Beberapa strategi dan usaha telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menggalakkan anak muda mendaftar sebagai pengundi.

Namun hasilnya masih kurang memberangsangkan. Pelbagai alasan diberi oleh remaja untuk tidak mendaftar sebagai pengundi.

Tidak cakna, prihatin dan tidak peduli antara punca hampir 1.9 juta anak muda Melayu di negara ini tidak berdaftar sebagai pengundi. Lebih malang lagi ada yang tidak mahu mengundi walaupun sudah berdaftar.

Sikap tidak celik politik ini amat membimbangkan.

Beberapa alasan diberikan oleh anak muda Melayu. Kajian saya menunjukkan mereka mendakwa undi mereka tidak akan memberi kesan apa-apa kepada politik negara.

Ada juga yang mengatakan apa faedah yang akan diperoleh jika mereka mengundi? Sesetengahnya mengatakan 'tidak suka politik', bosan dan tidak mahu masuk campur dalam hal ehwal negara.

Keadaan ini amat menggusarkan kerana tonggak masa hadapan negara berada di tangan anak muda. Sekiranya mereka tidak mendaftar sebagai pengundi, maka perubahan dan anjakan serta transformasi yang diidamkan di Malaysia tidak akan menjadi kenyataan.

Senario politik yang semakin mencabar dan rencam, amat penting fahaman politik dalam kalangan muda untuk mengekalkan survival Melayu. Adakah Melayu 'mudah lupa' atau 'selesa'?

Sehingga persoalan masa depan bangsa bukan lagi keutamaan? Sikap cakna, kepedulian dan literasi politik merupakan kewajipan bagi mengekalkan survival atau kelangsungan bangsa.

Adakah kenikmatan, kemewahan atau keselesaan yang dialami anak muda punca kepada sikap tidak ambil peduli soal masa hadapan bangsa.

Arus pemikiran liberalisme dan keterbukaan, juga menghakis roh dan semangat serta perjuangan. Atau mungkin juga kelekaan dan pemikiran hedonisme atau mengutamakan keseronokan dan hiburan menyebabkan soal mengutamakan bangsa bukan lagi menjadi keutamaan.

Sebagai anak muda ironinya berpegang kepada idealisme dan bersemangat tinggi.

Namun jika mereka tidak menunaikan hak sebagai pengundi, maka hilang lah peluang untuk menentukan kepimpinan serta kerajaan pada masa akan datang.

Dengan kemudahan pendaftaran dalam talian, malah menggunakan telefon bimbit atau terus ke kaunter yang ditentukan, mereka yang berumur 18 tahun, rakyat Malaysia yang layak mengikut syarat ditentukan berpeluang untuk menjadi pengundi berdaftar.

Apa lagi alasan anak muda Melayu tidak mendaftar? Harapan agar sistem pendaftaran secara automatik yang lebih praktikal membolehkan lebih ramai pengundi menyuburkan lagi semangat demokrasi melalui pilihan raya yang sihat.

Persoalan sikap tidak peduli terhadap masa hadapan bangsa sendiri juga ancaman yang perlu diberikan tumpuan.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi Raja Berperlembagaan, kuasa serta pentadbiran sebenarnya ditentukan undi dalam sistem pilihan raya.

Mana-mana parti politik atau kumpulan yang mendapat undi majoriti, akan diberikan mandat membentuk kerajaan. Pilihan di tangan anda. Namun untuk memilih perlulah mendaftar sebagai pengundi.

Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments