About Me

header ads

Putrajaya akan batal had umur belia di Johor, jika terbukti istana campur tangan


PUTRAJAYA: Kerajaan pusat akan membatalkan keputusan kerajaan Johor mengekalkan had umur belia pada 40 tahun, jika terbukti ada unsur campur tangan daripada pihak istana, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Dia tak jawab apa pun,” katanya ketika ditanya sama ada Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal sudah memberi maklum balas berhubung tindakan kerajaan negeri mengekalkan had umur belia pada usia 40 tahun, selepas bersetuju menurunkan had itu kepada 30 tahun yang didakwa dibuat atas arahan istana Johor.

Perdana menteri berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Hari ini, Sahruddin dilaporkan berkata, isu itu selesai kerana kerajaan negeri pimpinannya mengekalkan pendirian dengan menetapkan had umur belia pada 40 tahun.

Pada 8 Julai lalu, Sahruddin dilaporkan berkata, kerajaan Johor menetapkan pendirian mengekalkan had umur belia daripada 15 hingga 40 tahun bagi memastikan pelaksanaan pelan perancangan yang dirangka tidak terbantut.

Tetapi, sehari kemudian, Exco Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dilaporkan berkata, kerajaan negeri menerima pindaan had umur belia dari 15 hingga 30 tahun.

Lapan jam selepas itu, kerajaan Johor membuat pusingan U dengan menetapkan had umur belia pada 40 tahun.

Sementara itu, Mahathir turut ditanya mengenai hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang mendapati tiada kehilangan wang dalam kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Yalah, kalau dia kata tak hilang, kita nak tengoklah duit kat mana.

“Kalau dapat jumpa balik duit itu, dia tak hilanglah. Kalau kita tak jumpa, ia hilanglah.”

Hari ini, PAC dilaporkan berkata, wang itu tidak hilang, tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Tetapi, PAC mendapati berlaku pelanggaran prosedur pemindahan RM19.4 bilion itu kerana ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan undang-undang.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments