About Me

header ads

RUU mansuh hukuman mati dibentang Oktober ini, kata menteri


SANDAKAN: Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober ini, selepas kerajaan memutuskan hukuman penjara setimpal menggantikan hukuman maksimum itu yang diperuntukkan bagi 11 kesalahan berat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi mengkaji hukuman pemenjaraan terhadap kesalahan berat itu.

“Ini akan melibatkan peralihan besar dalam dasar hukuman, oleh itu kerajaan memerlukan masa untuk mengkaji dan membuat keputusan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Liew berkata, pasukan petugas itu akan turut mengkaji semula hukuman penjara seumur hidup, sama ada tempoh penjara dikurangkan antara 10 hingga 30 tahun bagi 11 kesalahan berat itu.

Ketika ini, undang-undang memperuntukkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti bunuh, rompakan bersenjata dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan juga kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam perkembangan lain, Liew berkata, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang meminda Perlembagaan bagi membolehkan rakyat 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada Selasa ini.

Beliau berkata, apabila pindaan itu diluluskan, kira-kira 3.8 juta pengundi baru, termasuk rakyat berumur 18 tahun dijangka mengundi pada pilihan raya umum ke-15.

Selain itu, katanya, kerajaan pada Rabu akan membentangkan rang undang-undang menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah yang baru kepada 60 kerusi sedia ada.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments