PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membuat penampilan sulung sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menerusi ucapan dalam video yang diprarakam untuk mesyuarat peringkat tinggi di New York pada lewat hari ini.
Kementerian  Luar (Wisma Putra) dalam kenyataannya berkata, Muhyiddin pada mesyuarat  bersempena ulang tahun ke-75 UNGA itu akan membuat penegasan berhubung  sokongan berterusan Malaysia terhadap peranan utama Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Muhyiddin  akan menggariskan perubahan yang perlu diambil PBB bagi memastikan  pertubuhan itu kekal relevan dalam menangani cabaran-cabaran global masa  kini," kata Wisma Putra.
Menurut  kenyataan itu, mesyuarat peringkat tinggi sehari tersebut dijangka  menerima Deklarasi Memperingati Ulang Tahun Ke-75 PBB.
"Deklarasi  itu mengisyaratkan komitmen kolektif negara anggota terhadap  multilateralisme dan untuk merangsang perkongsian dalam kalangan  komuniti dalam merealisasikan dan menyelesaikan keperluan paling  penting," demikian menurut kenyatan itu.
Mesyuarat  peringkat tinggi itu akan memberi peluang kepada pemimpin dunia untuk  bekerjasama melaksanakan matlamat PBB seperti yang termaktub dalam  Piagamnya yang ditandatangani di San Francisco pada 26 Jun 1945.
Piagam  itu menuntut PBB mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,  menganjurkan kemajuan masyarakat serta standard kehidupan yang lebih  baik, mengukuhkan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan hak-hak  kemanusiaan.
Wisma Putra berkata, mesyuarat itu akan disusuli sesi debat umum yang dijadualkan bermula esok hingga 29 September.
Debat umum itu akan dipengerusikan oleh Presiden Sesi ke-75 UNGA Volkan Bozkir dari Turki di bawah tema "The  future we want, the United Nations we need: reaffirming our collective  commitment to multilateralism - confronting COVID-19 through effective  multilateral action."
Wisma Putra berkata Muhyiddin dijadual menyampaikan pendirian Malaysia pada debat umum itu 26 September ini. - BERNAMA
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


0 Comments