About Me

header ads

Kerjasama Umno-PAS naratif baharu politik selepas PRU14


PENDAPAT, 6 Mac — Parti Umno kini berada di persimpangan lagi. Pada sebelah pihak parti berkenaan sedang merancang untuk mengadakan kerjasama dengan parti musuh ketatnya pada satu masa dahulu, PAS menjelang satu lagi pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Di sebelah pihak lain, rakan gabungannya dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC pula sedang mencari gabungan alternatif baharu.

Maknanya, MCA dan MIC tidak mahu lagi bersekongkol dengan Umno. Begitu juga sebaliknya, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Umno tidak lagi menaruh apa-apa harapan pada kedua-dua rakan partinya itu kerana prestasi paling teruk yang dialami mereka.

Maka benarlah kata-kata pujangga, musuh dalam politik tidak akan jadi musuh buat selama-lamanya. Kawan pula tidak akan jadi kawan selama-lamanya. Begitu jugalah perkiraannya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup bekerjasama dengan DAP sejak sebelum PRU14. Perlu disebut juga bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah membawa partinya untuk bekerjasama dengan DAP.

Tetapi kini senario politik negara sudah berubah. Naratif politik tanah air sekarang tidak lagi seperti zaman sebelum PRU14.

Kerjasama tidak rasmi antara Umno dan PAS ketika dua pilihan raya kecil iaitu kawasan Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri Semenyih, yang memberi kemenangan kepada calon pembangkang, menjadi titik tolak kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua parti.

Namun kerjasama itu yang dibuat secara ad hoc, mungkin hanya mendatangkan manfaat kepada pembangkang pada pilihan raya kecil terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Pada peringkat lebih besar iaitu pilihan raya umum, Umno dan PAS masih boleh bekerjasama tetapi kedua-duanya tidak mampu membentuk kerajaan sekiranya mereka tidak mempunyai kerjasama dengan parti lain yang mewakili pengundi daripada latar belakang kaum dan agama yang lain.

Di sinilah letaknya risiko yang bakal dicetuskan oleh Umno. Untuk membolehkannya menang dan membentuk kerajaan, Umno tidak boleh kelihatan terlalu jumud dengan perjuangan bangsa dan agama.

Hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum yang menganuti pelbagai agama. Tanpa sokongan dan kerjasama dengan parti bukan Melayu, Umno tidak akan dapat mencapai hasratnya untuk menumpaskan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun sebahagian besar pemimpin Umno masih berdendam dengan PH dan dibuai dengan keseronokan mampu menumpaskan calon PH pada PRK Semenyih, salah seorang daripada pemimpinnya iaitu Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan bahawa BN masih memerlukan sokongan daripada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

Khaled dipetik sebagai berkata bahawa kenyataannya sebelum ini mengenai PRK Semenyih diperkatakan dalam konteks pilihan raya kecil apabila beliau menyatakan bahawa masyarakat Melayu telah memberi mesej jelas kepada pentadbiran PH tentang cara mereka mentadbir negara ini.

Katanya, walaupun BN tidak memperoleh sokongan Cina dan hanya mendapat 40 peratus undi daripada masyarakat India, masyarakat Melayu-Islam telah memberi isyarat kekecewaan yang jelas kepada PH dengan mengundi calon BN.

Momentum ini, tambahnya, akan berterusan jika mereka bersatu dengan misi dan matlamat yang jelas bagi mempertahankan agama dan bangsa. Tetapi pada masa yang sama, Khaled yang juga naib presiden umno menegaskan bahawa parti berkenaan semestinya serius untuk memperoleh semula sokongan daripada pengundi Cina dan India kerana setiap undi adalah penting.

Apa yang diperkatakan oleh Khaled itu memang mempunyai kebenarannya kerana sejak sebelum merdeka lagi, struktur kepartian di negara ini diasaskan daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, cina dan India. Sejak perjuangan menuntut kemerdekaan sehingga kini, rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama turut menyumbang kepada proses demokrasi dan pembentukan kerajaan di negara ini.

Jika Umno ingin kembali berkuasa, ia perlu mempunyai perancangan untuk menghidupkan semula satu gagasan seperti BN, dengan penyertaan parti bukan Melayu dan Islam. Kerjasamanya dengan PAS pada ketika ini hanya lebih merupakan satu “political convenience” atau kemudahan politik.

Namun dengan ketiadaan MCA dan MIC, Umno tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada menjenamakan semula gabungan tersebut ataupun mewujudkan sebuah kerjasama baharu yang lebih berbentuk jangka panjang.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

Post a Comment

0 Comments