About Me

header ads

Kampung Melayu di P. Pinang bakal lenyap


PULAU PINANG 14 Ogos - Ketika tiada lagi ruang-ruang tanah boleh dibangunkan bagi projek pembangunan komersial di sekitar pusat bandar Georgetown, pemaju di negeri ini kini dilihat menyasarkan pula kawasan di pinggir bandar dengan lokasi utama di Balik Pulau.

Perkembangan itu dapat dilihat dengan jelas selepas satu demi satu projek perumahan mewah diluluskan dan dibangunkan pemaju di lokasi yang menempatkan puluhan perkampungan Melayu di negeri ini.

Situasi itu menimbulkan persoalan dan kebimbangan terutama dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut berhubung nasib kampung mereka pada masa depan sama ada akan turut ditukar kepada perumahan mewah.

Malah, mereka juga tertanya-tanya tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan projek perumahan mewah di kawasan itu sedangkan majoriti penduduknya merupakan orang Melayu dalam kelompok miskin dan berpendapatan rendah.

Lebih membimbangkan apabila ada kawasan kampung yang sudah berusia ratusan tahun terpaksa dikorbankan untuk dibina perumahan mewah dengan salah satunya adalah Kampung Kuala Jalan Bharu.

Kampung berkenaan merupakan pusat perikanan kerana majoriti penduduknya bekerja sebagai nelayan dan terlibat dalam bidang pertanian dengan sebahagiannya membuka kedai makan dan perniagaan runcit.

Dianggarkan terdapat kira-kira 500 penduduk di kampung itu yang hidup bercampur antara pelbagai kaum di kawasan yang dipenuhi sawah padi dan berhampiran muara sungai.

Di kampung itu juga terletak restoran laksa popular yang sudah menjadi sebahagian identiti pelancongan Pulau Pinang iaitu Laksa Pokok Asam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, satu kawasan perumahan mewah yang mempunyai lebih 100 unit banglo dianggarkan bernilai ratusan ribu telah siap dibina.

Dalam masa sama, fasa kedua daripada projek unit banglo itu dikatakan sedang dirancang pemaju untuk diteruskan pada bila-bila masa dengan melibatkan pengambilan tanah daripada penduduk.



Salah seorang penduduk yang bakal dihalau itu ialah Ariffin Salleh, 66, yang kini hidup dalam kebingungan memikirkan masa depannya kerana sudah diheret ke mahkamah oleh pemaju.

Bekas tukang rumah itu berkata, dia dan puluhan keluarga lain di perkampungan itu sudah mendiami kawasan tersebut sejak lebih 50 tahun lalu.

Malah, mereka juga membayar cukai tanah dan sewa kepada pemilik tanpa mengetahui status tanah yang diduduki.

“Beberapa siri rundi­ngan diadakan dengan pemaju namun mereka tidak memberi jaminan yang kukuh kepada kami menyebabkan kami bertambah bimbang,” katanya.

Ariffin berkata, syarikat pemaju yang berpangkalan di Bandar Perda, Bukit Mertajam itu juga telah berjanji memberikan rumah ganti berharga RM70,000 kepada keluarganya.

Bagaimanapun tambahnya, mereka tidak diberitahu lokasi sebenar atau jenis rumah yang dijanjikan pemaju kerana tidak dimaklumkan secara terperinci.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

Post a Comment

0 Comments