About Me

header ads

Timbalan KM enggan ulas kemasukan rasmi PPBM ke Sabah


KUALA LUMPUR: Kepimpinan Sabah enggan mengulas lanjut berhubung pengumuman PPBM akan masuk ke negeri itu secara rasmi bulan depan, sebaliknya hanya mahu menunggu ketibaan parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad tersebut.

“Saya ada nampak petikan berita mengenainya, jadi kita tunggu 6 April nanti,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew, pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Terdahulu, Christina merasmikan pameran pelancongan Matta Fair bagi menggantikan Ketua Menterinya, Shafie Apdal.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamadin Ketapi.

Semalam, Mahathir berkata PPBM akan pergi ke Sabah pada 6 April ini, susulan penerimaan 6 wakil rakyat dan 2 senator yang meninggalkan Umno Disember lalu sebagai sebagai kumpulan pertama ahli PPBM Sabah.

Mereka adalah 4 ahli Parlimen, iaitu Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Ronald Kiandee (Beluran).

Baki 4 lagi pemimpin ialah 2 Adun, iaitu Hajiji Mohd Noor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan) serta Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas ketua Umno Bahagian Pensiangan) dan John Ambrose (bekas ketua Umno Bahagian Penampang).

Mereka adalah sebahagian daripada Umno Sabah yang meninggalkan parti itu pada 13 Disember lalu sehingga menyebabkan parti itu hampir lumpuh di negeri berkenaan.

Sementara itu, pemimpin Warisan Sabah menyerahkan perkara itu kepada presiden parti, Shafie Apdal untuk mengulas penerimaan 6 bekas ahli Umno negeri itu ke dalam PPBM.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, hanya Shafie yang berhak mengulas perkara berkenaan.
“Ianya terlalu awal untuk berikan komen dari pihak kami. Dan saya rasa, ketua menteri akan memberikan kenyataan beliau apabila beliau bersedia untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi FMT.

Dalam majlis yang sama, Mohamadin berkata kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat mana-mana individu melawat New Zealand, susulan tragedi tembakan yang berlaku di 2 masjid di Christchurch.

Katanya, individu yang merancang untuk melawat negara itu dinasihatkan meminta pandangan agensi pelancongan masing-masing sebagai persediaan.

“Ataupun minta pandangan (advisory) daripada pihak kerajaan New Zealand mengenai keselamatan dan situasi di sana,” katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 49 maut dan lebih berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan ke atas 2 masjid di negara itu, yang disifatkan Perdana Menterinya, Jacinda Ardern sebagai satu serangan pengganas.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments