About Me

header ads

Hukuman kesalahan ‘body shaming’ terlalu luas, kata peguam


PETALING JAYA:
Kenyataan ketua polis negara baru-baru ini mengenai “body shaming” ialah kesalahan jenayah mendapat reaksi berbeza daripada 2 ahli Majlis Peguam.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Manusia Majlis Peguam, Roger Chan berkata, undang-undang yang disebutkan itu terlalu luas dan tidak menjelaskan secara tepat apa yang dimaksudkan dengan “body shaming”.

“Apa itu ‘body shaming’? Sekiranya saya membuat komen yang mungkin anda tak suka dengan nada anda tak suka, adakah itu jenayah? Tiada metrik fakta di sini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perlu ada perbezaan antara membuli dan jenayah kerana keluasan undang-undang memberi ruang untuk potensi penyalahgunaan.

“Kita perlu tentukan apa piawaian masyarakat di sini kerana perlu ada perbezaan antara melakukan jenayah dan sesuatu yang hanya menyinggung perasaan.”

Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkat,a sebarang tindakan menghina, mengutuk dan mencaci bentuk badan seseorang ialah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atas bahasa menghina atau cabul.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Jenayah Majlis Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali bersetuju perlu ada asas undang-undang untuk mendakwa individu yang membuat komen sedemikian.

Beliau menyifatkan “body shaming” sebagai “amat dibenci secara moral”.

Katanya, jika laporan dibuat dan bukti menunjukkan laporan itu mempunyai merit, pesalah boleh didakwa di bawah pelbagai undang-undang yang dinyatakan ketua polis negara.

Beliau berkata, pengadu perlu menyerahkan bukti untuk meneruskan aduannya dan keluasan undang-undang meliputi komen “body shaming” walaupun tidak dinyatakan secara jelas dalam undang-undang.

“Hakikat pelaku menunjukkan tindakan ‘body shaming’ atau kecenderungannya ialah satu kesalahan, sudah tentu ia tertakluk kepada siasatan.”

Walaupun polis berhak mendakwa individu bertanggungjawab, beliau berkata, akhirnya ia terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada kes itu mempunyai kriteria diperlukan.

Mengulas mengenai hukuman, Chan berkata, undang-undang “kekurangan perkadaran” kerana spektrum keterukannya adalah luas.

Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun, sementara Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, di bawah Akta Kesalahan Kecil, pesalah boleh didenda hingga RM100, di mana menurut Chan ia adalah hukuman paling adil.

“Ada cara menangani perkara seperti ini tanpa mendakwa seseorang.

“Jika tiada perkadaran, undang-undang akan melanggar tujuan perundangan secara menyeluruh.”




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

0 Comments